Monday, May 31, 2010

Warehouse

Kisah ini berdasarkan pengalaman aku sendiri semasa aku bekerja di sektor perkilangan di Pasir Gudang dan bertugas pada waktu malam. Pada jam 1 pagi, aku telah menerima panggilan daripada gudang yang terletak di bahagian belakang kilang menghadap hutan kecil. Kebetulan waktu itu aku keseorangan kerana aku tidak berehat ke kantin sedangkan semua rakan sekerjaku pergi. Aku mengangkat panggilan tersebut sambil telinga sebelah lagi masih mendengar rancangan kegemaran aku, Misteri Jam 12 di Ria 89.7 Fm. Aku tidak dapat mengecam suara yang menelefon aku pada waktu itu dan nadanya selamba menyebabkan aku tidak mengesyaki apa-apa.

Beliau minta aku untuk pandu forklift ke gudang tersebut kerana beliau ingin mengambil tong gas yang baru kerana forkliftnye kehabisan gas. Tanpa ragu-ragu, aku terus menghidupkan enjin forklift dan memandunya ke gudang. Setelah sampai, aku tidak melihat kelibat sesiapa pun termasuk forklift yang dikatakan kehabisan gas itu. Aku turun dari forklift dan masuk ke dalam gudang itu sambil memekik kepada sesiapa yang menelefon aku tadi. tidak semena-mena, bulu romaku berdiri dan tanpa menunggu lagi, aku naik forklift dan memecut ke tempatku sambil menyumpah-seranah sesiapa yang cuba mengenakan aku tadi.

Setelah rakan-rakan sekerja aku kembali dari rehat, aku bersemuka dengan mereka dan bertanyakan sesiapa yang bekerja di gudang pada waktu itu, adakah mereka ke kantin. Salah seorang rakanku berkata mereka semua bersama-sama di kantin sewaktu aku menerima panggilan tersebut. Aku menjadi hairan dan bermatian-matian cuba untuk buat mereka membocorkan rahsia yang mereka telah mengenakan aku tetapi semuanya bersumpah tidak melakukannya. Siapakah suara misteri itu yang menelefon aku?

No comments:

Post a Comment