Thursday, October 6, 2011

Lambakan Filem Seram/Hantu



KUALA LUMPUR, 3 Okt — Penggiat dan pengarah filem hantu dan seram menafikan karya mereka menjadi punca kepada suburnya amalan kepercayaan tahyul di kalangan penonton atau merosakkan akidah mereka, selain percaya ia mempunyai banyak nilai positif seperti kekeluargaan dan agama.
Ada antara mereka berpendapat filem sedemikian lebih bercorak hiburan, mendapat permintaan tinggi dan diselitkan dengan unsur komedi, bukan untuk meracuni minda masyarakat.
Pengarah yang banyak menghasilkan filem seram, Ahmad Idham Ahmad Nadzri turut dilapor mempertikaikan cadangan Majlis Fatwa Kebangsaan yang mahu bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi membincangkan isu lambakan filem itu kerana ia disifatkan sebagai tidak adil, sekali gus berniat untuk membunuh kerjaya mereka.
Sebaliknya beliau meminta Majlis Fatwa Kebangsaan menemui pemain-pemain utama industri filem bagi membincangkan pengisian yang sepatutnya, sekali gus mengawal lambakan filem genre sebegitu.
“Jangan menghukum filem genre seram atau menjadikannya alat untuk kepentingan politik,” kata beliau dipetik Berita Harian hari ini.
Laporan media semalam memetik bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, lambakan cerita hantu yang ditayangkan di televisyen dan menerusi filem ketika ini boleh menggalakkan kepercayaan karut yang tidak membantu membina masyarakat berproduktif, termasuk menyelesaikan masalah dengan pendekatan saintifik.
Beliau berkata lambakan cerita hantu yang berasaskan mitos banyak menyumbang kepada serangan histeria di kalangan pelajar perempuan Melayu.
“Filem dan drama televisyen memaparkan kisah hantu hanya menggalakkan kepercayaan tahyul yang tidak mempunyai asas sama sekali.
“Kita, terutama umat Islam, perlu tahu bahawa hanya Allah mempunyai kuasa ke atas segala-galanya,” kata Dr Mahathir.
“Sebagai contoh, dalam bidang perubatan, manusia mempunyai apa yang dipanggil sebagai ‘peripheral vision’.
“Jadi sekumpulan pelajar perempuan di asrama yang bercerita mengenai hantu akan melihat imbasan lembaga atau bayang-bayang melalui ekor mata dan terkena serangan histeria,” kata beliau.
Dr Mahathir berkata rakyat Malaysia kini perlu memberi tumpuan kepada usaha mencari kaedah lebih saintifik untuk menyelesaikan masalah.
Majlis Fatwa Kebangsaan pula mahu kerajaan membincangkan isu lambakan filem atau drama hantu kerana dikhuatiri boleh memesongkan akidah terutama di kalangan remaja Islam.
Ahli jawatankuasa majlis itu, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, pihaknya mahu kerajaan memperincikan kawalan terhadap penerbitan filem atau drama hantu yang jelas berunsur khurafat dan mempromosikan karut.
Mengulas lanjut, Ahmad Idham yang baru-baru ini menjadi fokus kontroversi filem Hantu Bonceng juga berkata dalam filem seram perkara yang perlu diberi perhatian oleh pembikin filem ialah isi kandungan filem itu sendiri.
“Dengan lambakan filem seram sejak kebelakangan ini, satu perkara yang dapat membezakan setiap filem seram itu adalah isu kandungannya.
“Isi kandung filem hantu perlu dikaji semula supaya pemikiran penonton tidak terus dibelenggu dengan kepercayaan karut,” katanya.
Malah katanya, “sebelum ini pun saya pernah menghasilkan filem seram yang tidak bergantung kepada jampi serapah atau bomoh sebagai penyelesaian.”
Misalnya, kata beliau, filem Damping Malam menggunakan pendekatan saintifik seperti yang dikatakan oleh Dr Mahathir apabila “pelakon filem mendapatkan pakar khidmat terapi untuk menyelesaikan masalah mereka.”
Turut bersetuju dengan Ahmad Idham ialah pengarah filem Hantu Kak Limah Balik Rumah dan Zombie Kampung Pisang, Mamat Khalid yang memberitahu bahawa tidak semua cerita seram menyuburkan kepercayaan kolot di kalangan penontonnya.
“Kalau filem seram melambak di pasaran dan kebanyakan mesej di dalamnya positif, saya tidak anggap ia salah.
“Lainlah jika filem itu dalamnya yang boleh merosakkan akidah, memang patut disekat,” kata beliau.
Pengarah urusan Cube Film Sdn Bhd dan juga pengarah yang banyak menghasilkan drama seram, Michael Ang berkata, kebanyakan judul seram dihasilkannya memberi pengajaran kepada penonton.
“Saya terbitkan filem seram bukan sekar untuk menakutkan penonton, tetapi sebagai memberikan hiburan kepada mereka.
Setengah penonton mendakwa perasaan takut sewaktu menonton filem hantu memberikan keseronokan buat mereka,” katanya yang pernah menghasilkan filem Hantu Kum Kum, Pontianak Kampung Batu dan Dendam Sundel Bolong.
Lagipun katanya, kebanyakan “filem seram kami dibuat dalam bentuk komedi dan juga bukanlah daripada cerita hantu yang asal.”
*Dari Artikel TheMalaysianInsider.com


Pendapat aku la, ade pengajaran ke takde dalam filem atau drama aku tetap anggap semua tu hiburan je. Sesetengah orang tengok filem seram sebab suke ditakutkan dan kadang2 memang penakut tapi nak tunjukkan dorang ni berani. Cite2 seram yang best adalah cite yang mempunyai jalan cerita yang unik dan kadang2 ending yang tak disangka2. Tak perlu hantu2 yang ganas atau seram, darah yang banyak...cukup la jalan cite yang baik yang kite tertunggu kesudahannya. Seram komedi dah tentu cite bodoh2 je untuk kite gelak2, bersantai dan tak perlu amik serius sangat. Cite camtu bermain dengan emosi je. Ape2 pun ini pendapat aku je... Lantak la orang lain nk cakap ape. Ade cite seram/hantu baru aku layan je... Kalau best...best la... kalau tak best memang aku tak minat la nak tengok...Semoga industri filem Malaysia bertambah maju tak kira cite ape pun yang dorang hasilkan....Aku nak tengok cite Malaysia dapat perhatian orang luar... chow!!!!

No comments:

Post a Comment